Thursday 7 April 2016

Syukur dan hargai peluang

Syukur dapat hidup dan menjadi warganegara Malaysia yang aman dan makmur. Banyak negara lain berada dalam keadaan tidak aman dan suasana hidup penuh mencabar dalam kaeadan ekonomi tidak stabil dan mundur. Tidak dinafikan, susasana di negara kita bukan yang terbaik, tetapi ia lebih baik berbanding negara lain.

Dalam menghadapi masalah ekonomi dan usaha memperoleh sumber pendapatan bagi kelangsungan hidup masing-masing, rakyat perlu lebih bersikap terbuka dan menerimanya sebagai satu cabaran hidup secara positif.

Jangan sekali-kali menyalahkan pihak lain dalam soal ini. Jauhi perasaan marah dan dendam sehingga tanpa menyedari menyalahkan pemberi rezeki hakiki iaitu Allah SWT.

Sebalinya rakyat perlu berusaha gigih untuk membangunkan potensi ekonomi bukan hanya bergantung kepada sesuatu pihak. Bagi pihak kerajaan, mereka bertanggungjawab memanfaatkan segala potensi dan hasil pendapatan negara untuk faedah rakyat secara umum.

Manakala sebagai masyarakat pula, kita dituntut agar berbelanja secara berhemah. Usahlah sesekali terpesong akidah dengan mempertikai atau mengatakan tidak memperoleh rezeki sedangkan menerimanya dalam bentuk lain.

Firman Allah: “Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu; adakah pencipta selain Allah yang dapat memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan?,” (al-Fatir: 3)

Sebagai umat Islam, dituntut mengingati segala nikmat pemberian Allah. Nikmat ini cukup jelas dan terang tetapi realitinya masih ramai masyarakat yang kurang bersyukur.

Sedangkan Allah mengurniakan rezeki yang mencurah-curah kepada kita sama ada dalam bentuk kesihatan, kebahagiaan, ketenangan dan keselamatan daripada sebarang malapetaka. Sedarilah bahawa golongan bersyukur akan melahirkan sebuah tamadun bangsa yang hebat dan sukar ditandingi bangsa lain.

Ia sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta yang Allah kurniakan kepadamu akan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu dari dunia; dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan..” (al-Qasas-77)

Imam al-Ghazali menyatakan bahawa terdapat tiga darjat syukur iaitu:
- Syukur dengan hati. Meyakini bahawa tiada memberi nikmat atau rezeki melainkan Allah
- Syukur dengan lidah. Memperbanyak lafaz pujian kepada Allah pemberi nikmat
- Syukur dengan amal.  Syukur yang disertai dengan amal.

Allah SWT memberikan pelbagai nikmat kepada manusia yang sangat berharga dan bernilai. Sebagai hamba-Nya, wajib beriman atas kurniaan nikmat tersebut kerana Allah tidak pernah lupa kepada setiap hamba-Nya walaupun sesaat.

Sifat syukur melahirkan umat Islam yang benar-benar berkualiti, menghayati nilai-nilai Islam dengan ikatan akidah yang kukuh. Kemuncaknya, akan muncul kelompok manusia elit yang berakhlak, berintegriti, berketerampilan dan sedia berkorban demi agama, bangsa serta negara.

Malah mereka terus menerus berusaha dengan bekerja bersungguh-sungguh agar pekerjaan yang dilakukannya mendatangkan keberkatan di sisi Allah.

Firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 105 maksudnya: “Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang mukmin akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara ghaib dan nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Nikmat atau rezeki yang diterima adalah berkat daripada Allah, meskipun hanya kecil dan sedikit tetapi cukup serta menenteramkan hati. Kerana orang yang selalu bersyukur akan memperoleh kehidupan yang tenang, dan bahagia serta terhindar daripada fitnah dunia serta akhirat.

Keistimewaan khasiat kurma

 
Kurma kaya dengan nutrisi yang baik untuk tubuh, malah ia mengandungi lebih banyak kalori dan karbohidrat.Ia juga mengandungi vitamin, mineral dan serat serta antioksidan yang dapat menjauhkan anda daripada pelbagai penyakit berbahaya.

Sebab itu, amalan makan kurma perlu dilakukan sepanjang tahun dan bukannya hanya ketika berbuka puasa sahaja.

Kurma mengandungi nutrien penting seperti vitamin (A, B, C dan E), mineral, zat besi, potasium, magnesium, mangan, protein, serat, karbohidrat dan gula ringkas. 

Sumber serat yang besar, menggalakkan kesihatan pencernaan, dan juga telah didapati mampu membantu mencegah kanser tertentu seperti kanser kolon dan kanser perut. 

Kadar potasium yang tinggi dapat membantu menjaga tekanan darah yang sihat dan kadar magnesium yang tinggi bermanfaat untuk otot dan saraf. Kurma sangat baik untuk lelaki. 

Rasulullah SAW gemar makan kurma atau mengutamakan memakan kurma berbandinga makanan lain.

Hadis riwayat Ahmad bermaksud: "Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air."

Dari Ibnu Qayyim dalam Tib An Nabawi, Nabi SAW berkata: "Kurma dapat menguatkan perut, hati, ingatan, untuk mengembangkan pembangunan badan, menyembuhkan penyakit dan bertindak sebagai makanan dan minuman."

Satu kajian mendapati, khasiat kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi.

Khasiat kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

Pengambilan kurma sebanyak 65 gram atau lima biji sehari akan membekalkan 40mg kalium yang boleh mengurangkan 40% risiko serangan penyakit strok.

Kandungan kalium ini membantu menurunkan tekanan darah dan membekalkan tenaga untuk mencegah strok secara langsung.

Khasiat kurma:
- Membekalkan tenaga.
- Menurunkan tekanan darah.
- Mencegah angin ahmar.
- Melancarkan perjalanan darah.
- Mencerdaskan minda.
- Menguatkan urat rahim semasa proses kelahiran.
- Membantu memudahkan kelahiran bayi.
- Menghindar penyakit barah.
- Membantu proses penghadaman.
- Mencegah lemah otot.
- Mengurangkan sengal-sengal badan,
- Mencegah barah urus.
- Menambahkan tenaga seksual.
- Membantu proses tumbesaran.
- Menurunkan paras kolestrol dalam darah.
- Meningkatkan kesihatan jantung.
- Antivirus.
- Mengawal paras gula.
- Menguatkan tulang dan gigi.
- Antioksidan.
- Mencegah keradangan.

Wednesday 6 April 2016

Serondeng sedap dimakan bersama nasi

Serondeng merupakan sejenis masakan daripada siatan daging, ayam, ikan dan sebagainya yang dimasak bersama santan dan rempah-rempah sehingga kering, dan kadangkala berminyak agar tahan lama.
 
Serondeng dimasak dan dikacau tanpa henti hingga betul-betul garing atau kering kerana dengan cara itu saja ia akan tahan lama. Serondeng atau dalam dialek Kelantan dipanggil 'sambal' yang dimasak kering boleh disimpan lama hingga satu tahun. 
 
Selain dimakan bersama nasi sebagai 'perisa', serondeng juga dijadikan inti untuk beberapa jenis kuih, terutamanya ketupat bucu atau ketupat palas. Selain itu ia juga dicampurkan ke dalam bubur, oak dan makanan dalam bentuk cair atau lembik. 
 
Di Kelantan, antara lokasi penghasilan serondeng terkenal ialah di Kampung Kubur Maras, Kota Bharu dan Kampung Laut Tumpat.  
 
Selain itu terdapat juga pengusaha serondeng di Machang dan Pasir Mas yang tidak kurang juga terkenal menghasilkan serondeng terbaik. 
 
Setiap pengusaha serondeng memang ada resipi masing-masing. Namun, tidak banyak beza antara satu sama lain.  
 
Selain, menggunakan ramuan berbeza, satu lagi ciri perbezaan serondeng ialah sama ada ia dalam keadaan garing, kering atau lembab.  
 
Serondeng garing adalah kering sepenuhnya. Teksturnya seakan-akan hancur. Boleh disimpan lebih lama. 
 
Serondeng kering tidaklah kering sepenuhnya. Masih ada kelembapan dan teksturnya agak lembut. Boleh disimpan melebihi setahun.  
 
Manakala serondeng lembab dalam keadaan berminyak. Teksturnya agak lembut. Boleh disimpan lebih 10 bulan. 
 
Ketiga-tiga jenis ada peminat mengikut cita rasa masing-masing. Sesuai untuk dimakan dengan nasi, dijadikan inti kuih mahupun dicampur dalam makanan jenis bubur.