Saturday 16 December 2017

KECUNDANG JIKA TIDAK UBAH STRATEGI DEKATI PENGUNDI

Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang paling lama dapat memerintah sesebuah negara. Rekod ini mengatasi parti lain di seluruh dunia. Namun, rekod itu lebur pada PRU 14 lalu. Nasib itu seperti parti pemerintah lain di luar negara yang satu persatu gagal mempertahankan kedudukan.

UMNO sebagai parti keramat Melayu mesti berusaha mendapat kembali sokongan rakyat. Perjuangan bangsa yang dimulakan oleh pemimpin dahulu mesti dipertahankan sampai bila-bila. 

Seluruh ahli UMNO perlu bekerja lebih kuat ke arah itu. Usaha dan tindakan yang lebih berkesan untuk mendapat sokongan perlu dilipat gandakan. Penambahan gerak kerja bukan saja dari segi kuantiti, tetapi juga kualiti.   

Perjuangan parti satu perkara yang penting. Kekuatan agama, bangsa dan negara bergantung kepada pengorbanan ahli parti. Kesatuan fikiran yang utuh berpaksikan kepada fakta yang benar. Ia tidak boleh dilakukan secara main-main atau ambil mudah. 

Dalam merangka sesuatu program perlu ada matlamat, fokus, boleh ubah dan mempunyai kaitan dengan apa yang ingin dicapai.  

Penekanan kepada matlamat amat penting. Jika melakukan sesuatu tanpa menetapkan matlamat, sudah pasti tidak akan berjaya mencapai apa yang diinginkan. Ahli akan menjadi keliru dan tidak ada hala tuju.       

Matlamat ialah untuk mendapat kembali sokongan rakyat. Perkara ini perlu dijadikan keutamaan atau paling penting bagi setiap program yang dirancang.

Perkara ini tidak sukar untuk dicapai jika kita memberi fokus terhadapnya. Beri perhatian yang khusus terhadap apa yang dilakukan. 

Usaha ini bukan boleh dibuat main-main. Fikiran dan tindakan kita mesti jelas. Apa yang diusahakan hendaklah dilakukan dengan penuh yakin. Jika hilang fokus, apa yang dilakukan tidak menjadi. 

Tidak dinafikan memang terdapat banyak halangan yang tidak dijangka akan berlaku. Justeru, perancangan yang dibuat itu mesti boleh diubah mengikut keadaan semasa. Namun begitu, perubahan itu nanti tidak mengubah matlamat asal dan tidak hilang fokus.

Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi ialah kekal sesuai dan diterima umum. Masyarakat hari ini sentiasa berubah mengikut arus perubahan zaman. Kita diperkenalkan dengan istilah globalisasi, libralisasi, dunia tanpa sempadan dan pelbagai perkataan baru. 

Keadaan ini menuntut ahli berubah dan bersedia menerima perubahan. Sebab itu, rancangan yang dirangka perlulah bersesuaian dengan tuntutan semasa. BN tidak boleh lagi bernostalgia atau menggunakan kaedah lama dalam usaha menarik sokongan rakyat. 

No comments:

Post a Comment